Perkahwinan merupakan suatu ikatan suci antara pasangan suami dan isteri menerusi suatu akad. Antara objektif utama perkahwinan dalam Islam ialah untuk mencapai kedamaian jiwa, ketenteraman dan kasih sayang di antara satu sama lain. Namun jika mawaddah wa rahmah ini tidak lagi dapat dicapai, maka dibimbangkan akan berlaku keruntuhan yang boleh menyebabkan kepada perceraian. Isu perceraian bukanlah satu isu yang asing dan soalan lazim tentang perceraian adalah seperti berikut:
- Perceraian Secara Persetujuan Bersama
- Fasakh
- Ta’liq
- Khulu’ (Tebus Talak)
Pasangan suami isteri boleh melantikkan peguam syarie untuk menfailkan perceraian secara persetujuan bersama di bawah Seksyen 47 Enakmen/Akta Undang-undang Keluarga Islam. Peguam syarie anda boleh menyediakan perjanjian berkaitan dengan hak-hak selepas perceraian, hak jagaan anak serta terma-terma lain yang diperlukan.
Bagi Negeri Selangor, jika pasangan suami isteri bersetuju untuk bercerai, mereka boleh melantikkan peguam syariah untuk menfailkan kes Perceraian Fast Track di mana kes perceraian mereka akan diproses dalam tempoh 6-9 jam dari tarikh kes difailkan.
Isteri boleh melantik peguam syarie untuk memohon kepada Mahkamah supaya memfasakhkan perkahwinan pihak-pihak atas alasan-alasan tertentu dan isteri perlu mengemukakan bukti kepada Mahkamah bagi alasan-alasan tersebut. Antara alasan-alasan yang membolehkan fasakh adalah:
- Suami gagal menyediakan nafkah zahir selama 3 bulan berturut-turut.
- Suami telah meletakkan isterinya dalam penyeksaan fizikal atau mental;
- Suami tidak menjalankan tanggungjawab nafkah batin tanpa sebab yang munasabah selama tempoh satu tahun;
- Suami telah menjalani perbuatan tidak bermoral / menyalahi undang-undang;
- Alasan-alasan lain seperti yang dinyatakan dalam peruntukkan Undang-undang Keluarga Islam.
Lafaz Ta’liq adalah perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah atas nasihat peguam syarie dan perceraian secara ta'liq boleh dituntut dan hendaklah dibuktikan oleh isteri bahawa telah lafaz ta’liq tersebut telah dilanggar oleh suami. Lafaz ta'liq yang dibuat oleh suami semasa upacara akad nikah ini berbeza mengikut negeri. Sila merujuk kepada peguam syarie tempatan untuk maklumat selanjutnya.
Perceraian secara khulu' merupakan salah satu alternatif perceraian yang boleh berlaku dengan penawaran oleh pihak isteri untuk bercerai dengan suaminya dengan menawarkan sejumlah wang atau harta sebagai pampasan dengan jumlah minimum RM 1.00.
Perceraian berlaku dengan lafaz talaq oleh suami apabila dia bersetuju dengan pampasan tersebut. Perceraian jenis ini juga termasuk dalam kategori talaq ba’in sughra. Oleh itu, ia tidak boleh dirujuk melainkan dengan akad dan mas kahwin yang baru.
Penceraian boleh berlaku di mana-mana sama ada di luar Mahkamah atau di dalam Mahkamah. Sekiranya penceraian berlaku di luar Mahkamah, maka pihak-pihak tersebut hendaklah melantik peguam syarie supaya membuat Permohonan Pengesahan Lafaz Cerai di Mahkamah bagi menentukan kesahihan lafaz tersebut sama ada berlaku talaq ataupun tidak.
Jumlah masa yang diperlukan untuk satu kes Fasakh atau Khulu’ adalah lebih daripada 6 bulan dan ianya bergantung kepada factor-faktor seperti berikut:
- Kerumitan Kes
- Kecekapan peguam syarie yang dilantik
- Jadual Mahkamah Syariah
- Masa yang diperlukan oleh kedua-dua pihak suami & isteri untuk mencapaikan satu persetujuan, jika ada.
- Peguam Syarie menfailkan saman
- Peguam Syarie menyerahkan saman kepada pihak Defendan
- Peguam Syarie menghadiri pelbagai pengurusan kes dalam tarikh yang ditetapkan